MELAKA – Dua pemandu cedera selepas kenderaan dipandu bertembung dalam nahas berpunca daripada kecuaian mengambil botol minuman terjatuh di Jalan Tanjung Minyak di sini malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian kira-kira jam 10 malam itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu sebuah Toyota Vios, lelaki berusia 36 tahun.

“Mangsa ketika itu dalam perjalanan dari dari Bukit Rambai ke Lorong Pandan sebelum tiba-tiba botol minuman dalam kereta dipandu terjatuh.
“Ketika lelaki itu cuba mengambil botol air berkenaan, keretanya dipercayai hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 25 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pertembungan mengakibatkan kereta Toyota Vios berkenaan terbakar namun kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Melaka.

“Mangsa pemandu Vios mengalami sakit dada manakala pemandu Myvi sakit di bahagian anggota badan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















