Suasana kecoh yang dicetus oleh beberapa individu ketika Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ke-8 Tahun 2025 di IDCC Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 6 SEPTEMBER 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Insiden kekecohan yang berlaku pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2025 malam tadi boleh menjadi `api dalam sekam’ yang membakar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya tidak ditangani dengan serius.

Menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, kekecohan itu juga memperlihatkan krisis keyakinan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pertembungan antara kem berbeza di dalam Bersatu benar-benar wujud.

Sehubungan itu, beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT menambah, pemimpin tertinggi Bersatu perlu mencari jalan segera bagi meredakan krisis dalaman tersebut sebelum ia menjadi lebih parah.

“Saya jangkakan agak susah untuk Bersatu mengubati perpecahan ini apabila telah sampai ke tahap ini, melainkan mereka kembali ke meja rundingan dan meterai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dalaman sesama sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

Malam tadi, kekecohan dan situasi tegang tercetus ketika Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasar pada PAT Bersatu 2025 di IDCC Shah, Alam, Selangor.

Kekecohan bermula ketika Muhyiddin dalam ucapannya menyentuh berhubung desas-desus wujud gerakan untuk mengutip tanda tangan bagi menjatuhkan beliau sebagai Presiden.

Ucapannya itu kemudiannya disambut dengan sorakan dan teriakan daripada sekumpulan perwakilan sehingga berlaku situasi di luar kawalan.

Kekecohan itu berlarutan selama beberapa minit memaksa Muhyiddin meneruskan ucapan beliau dalam keadaan para petugas cuba meredakan ketegangan yang berlaku.

Sementara itu, tambah Mohd Yusri, apa yang pasti krisis dalaman Bersatu yang mendorong kepada insiden kekecohan malam tadi akan memberi kesan langsung kepada Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, pergeseran dalam Bersatu itu akan melemahkan kepimpinan organisasi PN kerana pihak-pihak yang didakwa terlibat itu sama ada Muhyiddin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin atau Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah figura besar dalam PN.

Ujar beliau, kekecohan dan perseteruan dalaman Bersatu itu juga akan mempengaruhi persiapan PN untuk menghadapi Pililhan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang dijangka berlangsung tahun depan seperti dijangkakan Bersatu sendiri.

“Secara tidak langsung, ia juga akan menghakis keyakinan pengundi terhadap PN untuk menghadapi PRU-16, rakyat akan bimbang untuk memberi kepercayaan kepada perikatan politik yang tidak stabil,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast