Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika berucap pada PAT Bersatu 2025 di Shah Alam, Selangor hari ini.

SHAH ALAM – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee akan diangkat sebagai calon Ketua Menteri Sabah daripada Bersatu.

Bagaimanapun, jelas Muhyiddin, perkara tersebut masih belum dibincangkan serta diputuskan di peringkat kepimpinan Bersatu buat masa ini.

Sebaliknya, kata beliau, tumpuan Bersatu dalam persediaan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika ini adalah untuk memutuskan beberapa strategi lain yang lebih mustahak termasuk dalam menentukan kerjasama dengan parti-parti politik lain.

“Boleh jadi…(Ronald Kiandee sebagai calon Ketua Menteri Sabah daripada Bersatu).

“Bila sampai masanya kita akan putuskan, jadi kita tunggu apabila tiba masanya yang kita rasakan sesuai untuk kita umumkan perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap menggulung Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di sini hari ini.

Ditanya sama ada Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk bekerjasama dengan parti Warisan pada PRN Sabah, Muhyiddin berkata, terdapat pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku ketika ini.

Bagaimanapun, buat masa ini, belum ada sebarang keputusan muktamad berhubung soal kerjasama dengan parti-parti lain itu memandangkan senario dan situasi politik di negeri itu yang disifatkan agak berbeza.

“Kita perlu melihat sedalam-dalamnya sebab setiap parti sedang memberikan pertimbangan masing-masing. Jadi saya kira tidak sesuai untuk kita membuat keputusan dan komitmen dalam tempoh sekarang.

“Ada perkara-perkara yang belum lagi selesai, jadi kita akan tunggu sampai waktu masa yang sesuai,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengulangi penegasan PN tidak akan sesekali bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwa membelot PN pada PRN lalu.

Malah beliau turut membayangkan mana-mana parti yang memutuskan untuk bekerjasama dengan GRS akan tumbang berdasarkan penolakan besar rakyat Sabah terhadap parti itu susulan pelbagai kegagalan dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast