KUALA LUMPUR – Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Afghanistan susulan tragedi gempa bumi kuat yang melanda beberapa wilayah negara itu pada 31 Ogos lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu meliputi aspek perubatan dan kesihatan, bekalan makanan serta keperluan asas lain dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kerajaan juga akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan kepada Afghanistan dan jumlahnya akan ditentukan oleh Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi perbincangan meja bulat bersama syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kedutaan Afghanistan di Malaysia serta Kementerian Luar Negeri, tiada keperluan untuk menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi operasi mencari dan menyelamat di negara berkenaan.
“Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Afghanistan yang terkesan akibat bencana ini.
“Kerajaan Malaysia juga menegaskan komitmen berterusan untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam usaha meringankan penderitaan mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Afghanistan dilanda gempa bumi pada 31 Ogos lalu yang direkodkan antara kejadian terburuk melanda negara itu dengan jumlah kematian mencecah 2,200 mangsa. – MalaysiaGazette
















