KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 50 tahun yang memiliki tiga rekod jenayah dan sembilan rekod narkotik ditahan polis bersama sepucuk pistol serta 36 butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampung Sireh, Kota Bharu, kira-kira jam 5.00 pagi, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bersama Cawangan D4 JSJ IPK.
“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Selain itu siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.
Suspek ditahan reman selama empat hari bermula 7 September lalu sehingga esok bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















