KOTA TINGGI – Seorang warga Myanmar maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 34, Jalan Sungai Rengit di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut pada pukul 9.15 malam.
“Siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa, Mohamad Yunus Sayed Muhammad berusia 31 tahun dengan kereta jenis Ford yang dipandu seorang warga Indonesia berusia 48 tahun.
“Dalam kemalangan tersebut, warga Myanmar tersebut maut dipercayai akibat kecederaan parah di pelbagai bahagian badan sementara warga Indonesia mengalami cedera ringan.
“Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Yusof, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun, maksimum 10 tahun serta denda RM2,000 hingga RM5,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun. – MalaysiaGazette
















