Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki selepas menerima laporan berhubung tiga kes penularan video di media sosial yang mengandungi unsur hasutan dan ugutan jenayah dalam tempoh 8 hingga 12 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk M Kumar berkata, kes pertama melibatkan akaun Facebook Jibbie Sahaq yang memuat naik komen berunsur hasutan sehingga boleh menggugat ketenteraman awam serta mengandungi ugutan jenayah terhadap pemimpin negara pada 8 September lalu.

Katanya, seorang lelaki berusia 35 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, kes kedua adalah pada 11 September yang melibatkan seorang lelaki berusia 69 tahun telah menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah dalam insiden di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Katanya, lelaki berkenaan telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 11 September juga, seorang lelaki berusia 27 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan terhadap komen yang dimuat naik akaun Facebook Ayien Rose yang berunsur ugutan jenayah terhadap pemimpin negara.

Kenyataan itu menurut beliau boleh menimbulkan kegentaran awam dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksten 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau apa jua bentuk provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan awam dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, M Kumar menasihatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta menghormati undang-undang yang berkuatkuasa. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast