KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan esok bagi keputusan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan memutuskan kes rasuah projek solar yang dihadapinya.
Selain itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat ini bagi mendengar permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menghalang mana-mana pihak daripada membincangkan isu berkaitan permohonan semakan kehakiman difailkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak.
Di Putrajaya, keputusan rayuan isteri bekas Perdana Menteri akan disampaikan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Jika rayuan ditolak, Rosmah mempunyai satu lagi peluang untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, dua hari sebelum keputusan kes solar itu diumumkan berdasarkan alasan kononnya ‘penghakiman kes didakwa bocor’.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak. Ini bermakna beliau hanya menjalani hukuman penjara 10 tahun.
Isteri bekas Perdana Menteri juga didenda RM970 juta dan jika gagal membayarnya, beliau boleh dihukum penjara 30 tahun.
Beliau disabitkan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, pada Jumaat ini, Hakim Alice Loke Yee Ching dijadual mendengar permohonan AGC untuk mendapatkan perintah larangan bersuara berkaitan semakan kehakiman berhubung titah adendum.
Semakan kehakiman itu bagi memaksa kerajaan menguatkuasakan titah berkenaan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.
AGC memfailkan permohonan perintah larangan bersuara itu pada 20 Januari lalu, atas alasan kes berkenaan menyentuh isu sensitif.

Hari yang sama (Jumaat), Mahkamah Sesyen Putrajaya menetapkan pengurusan kes membabitkan penyanyi, Naim Daniel yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Mengikut pertuduhan, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, didakwa melakukan perbuatan itu pada 19 Mei lalu kira-kira pukul 8.56 malam di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















