MELAKA – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka mahu kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap tiga komponen penting dalam laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 yang merekodkan skor sederhana.
Pengerusi MPN Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menuntut tumpuan segera untuk memperbaiki beberapa aspek yang mencerminkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Pertama ialah soal pendapatan rakyat yang mana skor yang direkodkan hanya 5.75 iaitu pada tahap sederhana bahagia dan terendah berbanding komponen lain.
“Jadi saya harap dalam bajet negeri akan datang, mesti menumpukan kepada inisiatif peningkatan pendapatan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan baharu termasuk dalam bidang teknologi hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka sesi 2025- 2028 di Pejabat Madani, Bukit Piatu, di sini, hari ini.

Shamsul yang juga Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri turut menyentuh komponen kebudayaan yang hanya mencatatkan skor 6.86 meskipun Melaka terkenal sebagai negeri pelancongan yang kaya dengan warisan.
“Komponen kebudayaan ini harus diberikan tumpuan kerana ia menunjukkan penglibatan rakyat dalam aktiviti seni budaya dan warisan itu masih kurang sama ada pendedahan rendah ataupun tiada daya tarikan.
“Selain itu, komponen emosi rakyat Melaka juga perlu diberi perhatian kerana skor yang dicatatkan hanya 6.59, menunjukkan tahap kebahagiaan mental masih rendah,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara penambahbaikan diperlukan adalah melalui pelaksanaan program kaunseling komuniti, kempen kesedaran stres serta memperluaskan ruang rekreasi awam bagi memastikan keseimbangan hidup rakyat.
“Sama ada kita buat intervensi awal di sekolah, tempat kerja dan komuniti amat diperlukan bagi memastikan isu kemurungan, kegelisahan dan tekanan dapat kita atasi,” katanya. – MalaysiaGazette
















