KOTA KINABALU – Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah menerima aduan daripada Zara Qairina Mahathir mengenai sebarang masalah yang dihadapinya di asrama tersebut.
Azhari Abd Sagap, 31, yang turut mengajar subjek Bahasa Arab kepada Zara Qairina berkata demikian di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari kelapan prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Saksi kelapan itu berkata, Zara Qairina, yang belajar di kelas Tingkatan 1 Fatimah, tinggal di Asrama Qurratu Ayun di tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain dan bangunan tersebut berada di bawah seliaannya.
“Sepanjang menjadi guru Bahasa Arab dan sebagai Ketua Warden Asrama, saya tidak pernah menerima apa-apa aduan daripada pelajar berkenaan berhubung apa-apa masalah yang dihadapinya di asrama tersebut,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.
Menceritakan insiden pada 16 Julai, Azhari berkata, beliau mendapat panggilan daripada pengawal keselamatan iaitu Linah Mansoding @ Jaliha, 65, pada 3.04 pagi mengenai kejadian malang yang menimpa remaja itu. – Bernama















