R. Thinalan

KUALA LUMPUR – Pegawai Strategi MIC Kebangsaan, Datuk Thinalan T Rajagopalu mempersoalkan sikap hipokrit segelintir yang menimbulkan persepsi negatif terhadap MIC apabila dikaitkan dengan Pas sedangkan pertemuan UMNO dengan parti itu sebelum ini dianggap normal.

Menurut beliau, sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sendiri pernah mengakui UMNO mengadakan pertemuan dengan Pas namun kenyataan itu tidak pula menimbulkan sebarang tuduhan bahawa UMNO ‘menjual’ kepentingan Melayu atau merugikan pengundi mereka.

“Persoalannya, mengapa UMNO boleh bertemu Pas tanpa apa-apa persepsi buruk tetapi apabila MIC sekadar dilemparkan persepsi kononnya mahu bersama Pas ia terus dijadikan isu besar dan dianggap tabo?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Thinalan, propaganda yang cuba dimainkan kononnya kerjasama MIC dengan Pas akan mengancam masyarakat India tidak mempunyai asas malah hampir setiap parti di Malaysia pernah berunding atau bergabung dengan pihak lain demi kepentingan strategik.

“MIC sendiri pernah bekerjasama dengan Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) selama dua hingga tiga tahun. Sepanjang masa itu, tidak pernah timbul sebarang ancaman kepada masyarakat India. Jadi mengapa tiba-tiba ia mahu digambarkan seolah-olah bahaya?” soalnya.

Thinalan menambah, sejarah politik Malaysia membuktikan bahawa DAP juga pernah menjalin hubungan rapat dengan Pas malah selepas hubungan itu terputus, DAP tanpa segan silu menerima Parti Amanah Negara yang jelas merupakan pecahan daripada Pas.

“Gelombang hijau yang mereka pernah tumpangi dahulu hanya bertukar warna menjadi gelombang oren. Jika benar hubungan dengan Pas satu dosa politik, mengapa DAP dibersihkan daripada stigma itu.

“Ingat ya, DAP pernah berusaha menjalin kerjasama dengan Pas untuk menguasai pentadbiran Selangor. Namun pada waktu itu Pas sendiri membuat keputusan dasar untuk tidak bersama mereka.

“Apabila DAP cuba memujuk Pas untuk bersama menguasai Selangor, ia dianggap normal tetapi bila MIC dilemparkan tuduhan sekadar mahu bekerjasama, ia terus jadi bahan serangan. Di sini jelas wujud double standard,” tegasnya.

Tambahnya, rekod juga menunjukkan DAP pernah berkongsi kuasa secara langsung dengan Pas di Perak selepas Pilihan Raya Umum 2008 ketika itu walaupun DAP menang besar, parti itu tetap menyokong calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

“DAP memenangi 18 kerusi, PKR tujuh dan Pas enam kerusi. Walaupun DAP dominan, mereka sanggup menyerahkan jawatan tertinggi negeri kepada Pas. Bukankah itu bukti jelas mereka pernah tidur sebantal dengan parti yang mereka sendiri label sebagai ekstremis?” soalnya lagi.

DAP tidak boleh berpura-pura suci dan mereka pun pernah bersekongkol dengan Pas malah lebih jauh daripada sekadar pertemuan.

“Jadi, siapa sebenarnya yang lebih terikat dengan rekod sejarah kerjasama dengan Pas,” tegasnya.

Thinalan turut mengingatkan DAP sendiri kini bekerjasama dengan UMNO, parti yang mereka tuduh selama lebih 50 tahun sebagai perkauman dan korup.

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa MIC tidak mempunyai agenda tersembunyi untuk bekerjasama dengan Pas, tuduhan sedemikian, katanya, hanya percubaan menutup kegagalan pihak lain dalam membela masyarakat.

“Sudah tiba masanya mereka yang pernah tidur sebantal dengan Pas berhenti berpura-pura suci. Jangan jadikan MIC sebagai kambing hitam demi menutup sejarah hipokrasi mereka sendiri,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast