Mayat wanita warga emas ditutup selepas disahkan meninggal dunia akibat dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Sutera, Batu Berendam, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Seorang wanita warga emas bertongkat maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Sutera, Batu Berendam, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa, Choo Ng Lan, 72, yang bertongkat ketika melintas disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian pikap jenis Toyota Hilux dipandu seorang wanita berusia 45 tahun sedang dalam perjalanan dari Batu Berendam menghala ke Durian Tunggal.

“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang bertongkat dilaporkan melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Pemandu pikap sempat mengelak ke arah kanan namun masih terlanggar mangsa di bahagian hadapan kiri kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lokasi kejadian seorang wanita warga emas bertongkat maut dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Sutera, Batu Berendam, Melaka, malam tadi.

 

Menurut beliau, keadaan jalan ketika itu adalah tiga lorong sehala dengan permukaan kering, manakala lampu jalan berfungsi dengan baik.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada saksi bebas mahupun rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi namun terdapat rakaman dashcam dari kenderaan terbabit.

“Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kenderaan terbabit turut ditahan untuk pemeriksaan di Puspakom Rembia, Alor Gajah,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast