KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.9 berbanding 133.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Peningkatan ini telah didorong terutamanya oleh peningkatan lebih tinggi kumpulan insurans & perkhidmatan kewangan, 5.6 peratus (Julai 2025: 5.5%); penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan, 4.0 peratus (Julai 2025: 3.9%); restoran & perkhidmatan penginapan, 3.5 peratus (Julai 2025: 3.1%); pendidikan, 2.4 peratus (Julai 2025: 2.2%); makanan & minuman, 2.0 peratus (Julai 2025: 1.9%); rekreasi, sukan & kebudayaan, 0.9 peratus (Julai 2025: 0.8%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan, isi rumah, 0.2 peratus (Julai 2025: 0.1%).

Sementara itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain, 1.2 peratus (Julai 2025: 1.3%); kesihatan, 1.1 peratus (Julai 2025: 1.2%); minuman alkohol & tembakau, 0.4 peratus (Julai 2025: 0.6%) dan pengangkutan, 0.2 peratus (Julai 2025: 0.4%) menunjukkan peningkatan perlahan berbanding Julai 2025.

Sebagai tambahan, maklumat & komunikasi dan pakaian & kasut masing-masing kekal berada pada jajaran negatif iaitu negatif 5.6 peratus dan negatif 0.1 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, 59.7 peratus item (342 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.

Namun, daripada jumlah tersebut, 332 item (97.1%) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 10 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Ogos 2025.

Baki sebanyak 185 item (32.3%) menunjukkan penurunan dan 46 item kekal tidak berubah.

Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.0 peratus pada Ogos 2025 berbanding
1.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Inflasi subkumpulan makanan di luar rumah kekal dengan kadar 4.3 peratus seperti yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Manakala, makanan di rumah menurun kepada negatif 0.1 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: -0.3%) disumbangkan oleh penurunan kelas perbelanjaan
Sayur-sayuran (-6.5%); susu, produk tenusu lain & telur (-1.4%); buah-buahan & kacang (-0.7%); bijirin & produk bijirin (-0.6%) dan daging (-0.5%).

Namun begitu, beberapa kelas perbelanjaan menunjukkan peningkatan pada Ogos 2025 seperti ikan & makanan laut lain (2.3%); minyak & lemak (1.4%) dan gula, manisan & pencuci mulut (0.6%).

Kelas perbelanjaan sayur-sayuran menurun kepada negatif 6.5 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: -6.6%).

Antara sayur-sayuran yang merekodkan penurunan adalah bawang merah besar, -24.1 peratus (Julai 2025: -24.1%); tomato, -12.9 peratus (Julai 2025: -22.1%); bendi, -12.2 peratus (Julai 2025: -5.1%); bunga kubis, -10.3 peratus (Julai 2025: -9.4%); sawi, -9.8 peratus (Julai 2025: -9.0%) dan bawang putih, -9.6 peratus (Julai 2025: 6.4%).

Selain itu, kelas perbelanjaan Daging turut menurun kepada negatif 0.5 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: -0.9%).

Daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6%) dalam kelas perbelanjaan daging meningkat kepada 0.2 peratus (Julai 2025: -0.6%).

Berdasarkan pengumpulan data oleh pihak DOSM, purata harga ayam standard Malaysia pada Ogos 2025 adalah RM10.17 sekilogram berbanding RM10.15 sekilogram pada bulan Ogos 2024 (Julai 2025: RM10.25).

Manakala, purata harga ayam standard di Semenanjung Malaysia bagi Ogos 2025 adalah RM9.33 sekilogram berbanding RM9.27 sekilogram pada Ogos 2024 (Julai 2025: RM9.43).

Selain itu, inflasi kelas perbelanjaan daging turut disumbangkan oleh daging lembu tempatan dan bahagian ayam yang kekal pada jajaran negatif, masing-masing mencatatkan -3.9 peratus (Julai 2025: -4.2%) dan -1.9 peratus (Julai 2025: -2.1%).

Sementara itu, kelas perbelanjaan ikan & makanan laut menunjukkan peningkatan kepada 2.3 peratus pada Ogos 2025 berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya disumbangkan oleh ikan nyok-nyok (14.8%); ikan siakap (7.2%), ikan tongkol (6.1%), selar (5.6%) dan sotong (4.3%).

Subkumpulan makanan di luar rumah kekal 4.3 peratus pada Ogos 2025.

Antara item yang mencatatkan kenaikan pada Ogos 2025 ialah sate (4.9%), nasi babi panggang (4.6%), masakan daging (4.6%), masakan ayam (3.9%), nasi campur (3.8%) dan martabak (3.6%).

Inflasi bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain meningkat dengan kadar perlahan sebanyak 1.2 peratus berbanding 1.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Peningkatan ini didorong oleh subkumpulan elektrik, gas & bahan api yang menurun kepada negatif 4.5 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: -3.4%).

Penurunan pada subkumpulan ini adalah didorong oleh pengemaskinian kadar pelarasan kos bahan api secara automatik (AFA) yang dikenakan ke atas pelanggan domestik di Semenanjung Malaysia bagi penggunaan lebih daripada 600 kilowatt per jam (kWh), yang akan menerima rebat sebanyak 1.45 sen/kWh bagi tempoh 1 hingga 31 Ogos 2025 berbanding AFA pertama yang dikenakan pada tempoh 1 hingga 31 Julai 2025.

Pengemaskinian ini mengurangkan purata nilai tarif elektrik berbanding tempoh sebelumnya. Namun begitu, pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah kekal tidak terjejas.

Sementara itu, subkumpulan penyelenggaran, pembaikan & keselamatan rumah kediaman dan bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah
kediaman masing-masing meningkat kepada 4.9 peratus (Julai 2025: 4.7%) dan 2.6 peratus (Julai 2025: 0.5%).

Kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi pelarasan tarif air baharu atas dasar keperluan rakyat untuk mengukuhkan lagi keupayaan perkhidmatan bekalan air terawat.

Lima negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Pahang dan Terengganu telah melaksanakan pelarasan tarif air baharu ini berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2025.

Manakala, beberapa negeri lain akan dijadualkan pelaksanaan tarif air baharu pada 1 September 2025 iaitu Negeri Sembilan, Perlis, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Inflasi kumpulan Pengangkutan menyederhana kepada 0.2 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: 0.4%).

Walaupun subkumpulan Pengurusan peralatan pengangkutan persendirian meningkat kepada 0.4 peratus berbanding 0.3 peratus pada Julai 2025, penurunan subkumpulan perkhidmatan pengangkutan awam kepada -0.2 peratus (Julai 2025: 1.5%) telah mengimbangi peningkatan kumpulan ini.

Selain itu, subkumpulan perkhidmatan pengangkutan barangan merekodkan peningkatan lebih perlahan kepada 0.1 peratus pada Ogos 2025 berbanding 2.0 peratus pada Julai 2025.

Kedua-dua inflasi bahan api Petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel masih kekal pada jajaran negatif iaitu negatif 9.2 peratus (Julai 2025: -7.8%) dan -5.7 peratus (Julai 2025: -7.1%).

Purata harga Petrol tanpa plumbum RON97 pada Ogos 2025 ialah RM3.15 seliter berbanding RM3.47 seliter pada Ogos 2024 (Julai 2025: RM3.20).

Sementara itu, purata harga diesel di Semenanjung Malaysia adalah RM2.90 seliter berbanding RM3.27 seliter pada Ogos 2024 (Julai 2025: RM2.89) manakala, purata harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan mencatatkan peningkatan pada 5.6 peratus pada Ogos 2025 berbanding 5.5 peratus pada Julai 2025 disebabkan oleh kenaikan caj premium insurans untuk kereta kepada 1.7 peratus berbanding 1.3 peratus pada bulan sebelumnya.

Caj premium insurans faedah hospital dan premium termasuk caj perkhidmatan insurans untuk motosikal/skuter kekal pada kadar yang sama seperti bulan sebelumnya masing masing pada 14.7 peratus pada 1.8 peratus.

Di samping itu, kumpulan restoran & perkhidmatan penginapan turut meningkat lebih tinggi pada kadar 3.5 peratus (Julai 2025: 3.1%) disumbangkan oleh subkumpulan perkhidmatan penginapan yang meningkat tinggi kepada 2.3 peratus (Julai 2025: 1.0%).

Mohd Uzir Mahidin menambah, 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional, 1.3 peratus dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah (0.1%) pada Ogos 2025.

Empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (2.0%), Selangor (1.5%), Terengganu (1.5%) dan Negeri Sembilan (1.4%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast