TELUK INTAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut selepas terjatuh ke dalam sebuah parit di Jalan Labu Kubong, Kampung Cenderong Balai dekat sini pada pagi ini.
Mangsa, Mohd Zaidi Omar, 48, yang mengalami lumpuh di sebelah kiri badan dan berkerusi roda telah ditemui orang awam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.02 pagi berhubung insiden berkenaan.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Ketua operasi melakukan penilaian situasi sebelum mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE) bagi menjalankan operasi menaikkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi. – MalaysiaGazette
















