KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen pemain warisan yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman berkata, persatuan itu mengambil serius perkara tersebut.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
“Walau bagaimanapun FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kelmarin, media melaporkan, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.
Menurut Noor Azman, pihaknya sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette















