Ahli Wira Warisan membuat laporan polis berkenaan laporan yang didakwa fitnah berhubung kerjasama Warisan dan BN di Balai Polis Kudat, Sabah, malam tadi. - Foto: FB Khairuddin Daud

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Wira Pusat Parti Warisan (Warisan), Khairuddin Daud membuat laporan polis malam tadi berhubung laporan beberapa buah portal yang mendakwa kononnya Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan pertemuan sulit dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan kerjasama selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah.

Khairuddin yang juga Ketua Wira Kudat membuat laporan polis itu bersama Jawatankuasa Penyelaras N4 Tanjung Kapor di Balai Polis Kudat, bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat penyebaran fitnah tersebut.

Menurut beliau, kenyataan fitnah ini bukan sahaja dimuat naik oleh sebuah portal media, malah turut disebarkan oleh laman pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lain.

Dakwanya, menjelang PRN-17 Sabah, GRS dilihat semakin terdesak meraih sokongan dengan menabur fitnah dan mengelirukan rakyat.

“Adakah ini bermaksud GRS tidak mempunyai sebarang pencapaian yang membanggakan untuk diketengahkan kepada rakyat Sabah sehingga terpaksa bergantung kepada fitnah dan pembohongan?

“Kami tegaskan, tindakan memfitnah Warisan hanya akan menguatkan lagi semangat serta sokongan rakyat terhadap Parti Warisan menjelang PRN17,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Sebelum ini, beberapa laman portal media menyiarkan laporan berkenaan spekulasi kerjasama antara Warisan dan BN pada PRN-17 apabila kedua-dua presiden parti berkenaan didakwa mengadakan pertemuan sulit.

Portal media berkenaan merujuk kepada sebuah rencana yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, yang mendakwa berlangsung pertemuan antara Mohd Shafie dan Ahmad Zahid dipercayai bagi membincangkan kesediaan Warisan untuk bergabung dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN-17 Sabah.

Memetik sumber Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, laporan itu mendakwa Mohd Shafie turut dikatakan bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk jawatan Ketua Menteri sekiranya kedua-dua parti berjaya menawan semula Sabah.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti-parti tempatan bagi menghadapi PRN-17 Sabah.

Bagaimanapun, Mohd Shafie seperti dilaporkan media pula berkata, Warisan tidak akan bergabung dengan mana-mana parti politik pada PRN-17 Sabah, sebaliknya akan meletakkan calon di kesemua 73 kerusi DUN selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi parti itu yang telah bermesyuarat sebanyak dua kali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast