Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.

KUALA LUMPUR – Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini bagi menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tidak boleh dilihat sebagai melemahkan sokongan negara kepada Palestin.

Sebaliknya Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Awan), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia merupakan langkah progresif dan pragmatik dalam usaha negara membawa perbincangan berkenaan isu kemanusiaan Palestin dengan Malaysia dan ASEAN harus menyatakan pendirian tegas terhadap Palestin secara terbuka pada sidang itu.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang, penderitaan rakyat Palestin bukan lagi isu kecil dan bukan hanya isu seputar umat Islam semata-mata tetapi ia adalah isu kemanusiaan dunia dan keadilan sejagat yang perlu disuarakan dan dipertegaskan secara berani, bertanggungjawab dan membina.

“Kita memahami bahawa Malaysia selamanya tidak akan bertolak ansur ke atas sebarang tindakan barbarian dan kejam yang dilakukan oleh mana-mana kuasa dan negara ke atas mana-mana negara yang lain, termasuklah tindakan kejam Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Aiman Athirah percaya kehadiran pemimpin dunia di rantau ini merupakan peluang untuk Malaysia menyuarakan secara tegas dan bijaksana keperluan mendesak penyelesaian yang adil, aman dan berkekalan bagi rakyat Palestin dengan kadar segera.

Bahkan, menurut beliau, pendirian itu tidak terhad kepada keadilan dan kemanusiaan Palestin sahaja, tetapi kepada semua yang memerlukan perhatian dan santunan.

Tambahnya, dalam semangat diplomasi terbuka, pihaknya juga berharap Malaysia akan menyampaikan secara langsung kebimbangan rakyat negara ini terhadap dasar luar AS yang dilihat menyokong pendudukan haram Israel.

Selain itu Malaysia juga perlu menyuarakan kebimbangan terhadap sikap lunak AS berhubung tindakan kejam Israel terhadap kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang tidak berupaya; serta komitmen negara untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin di semua platform antarabangsa, termasuk pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Ini tentunya selari dengan komitmen Malaysia bahawa ASEAN adalah sebagai rantau aman dan berprinsip, dan semangat ini tidak boleh hanya terpakai kepada rantau ini, tetapi seharusnya menjadi komitmen dan dizahirkan oleh semua kuasa untuk keamanan dunia,” katanya.

Dalam masa sama, jelas beliau, pihaknya bertegas supaya Malaysia terus berpegang kepada prinsip bahawa keterlibatan antarabangsa mesti diasaskan atas nilai kedaulatan dan saling menghormati, penyelesaian secara damai bagi semua konflik dan penolakan terhadap penjajahan dan penindasan dalam apa jua bentuk.

“Kita meletakkan harapan yang tinggi agar Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dan efektif di peringkat ASEAN dan dunia antarabangsa dalam memelihara keamanan, kestabilan, keadilan global dan pembebasan serta kemerdekaan negara Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast