KUALA LUMPUR – Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak mencari gabungan dengan mana-mana pihak pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sebaliknya, menurut beliau, gabungan sebenar parti itu adalah dengan hati dan suara rakyat Sabah sendiri.
Tegasnya, dengan satu tekad dan satu jiwa, Warisan akan bertanding di setiap 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-17 Sabah, walaupun ramai musuh yang menanti.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali lupa yang mana sejak sekian lama, parti yang dianggap kecil adalah parti yang paling kuat apabila bersatu.
“Warisan bukan parti orang besar-besar tetapi Warisan adalah parti rakyat yang mahu melihat Sabah berdiri megah dengan maruahnya.
“Musuh mungkin ramai tetapi bila rakyat berdiri bersama kita maka itulah kekuatan sebenar,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Shafie menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan kali kelapan Warisan Bahagian Semporna yang diadakan semalam, yang disifatkan beliau sebagai perjumpaan dalam sebuah keluarga besar Warisan.
“Kita berkumpul bukan untuk berunding dengan parti lain tetapi untuk memperkuat tekad bahawa perjuangan kita hanyalah bersama rakyat,” katanya.
Sebelum ini, beberapa laman portal media menyiarkan laporan berkenaan spekulasi kerjasama antara Warisan dan Barisan Nasional (BN) pada PRN-17 Sabah, apabila kedua-dua presiden parti berkenaan didakwa mengadakan pertemuan sulit.
Portal media berkenaan turut merujuk kepada sebuah rencana yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris, yang mendakwa berlangsung pertemuan antara Mohd Shafie dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dipercayai bagi membincangkan kesediaan Warisan untuk bergabung dengan UMNO untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRN-17 Sabah.
Memetik sumber Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, laporan itu mendakwa Mohd Shafie dikatakan bersedia memberi laluan kepada UMNO untuk jawatan Ketua Menteri sekiranya kedua-dua parti berjaya menawan semula Sabah.
Bagaimanapun, Naib Ketua Wira Pusat Parti Warisan (Warisan), Khairuddin Daud menafikan perkara itu dan membuat laporan polis di Balai Polis Kudat malam tadi, supaya siasatan dapat dilakukan berhubung laporan yang disifatkan fitnah tersebut. – MalaysiaGazette
















