KUALA LUMPUR – Penubuhan Koperasi Industri Rakaman Muzik Berhad (KOIRAMA) merupakan satu pencapaian penting bagi industri rakaman muzik tempatan.
Ia membuka ruang kepada ahli-ahlinya menyertai gerakan koperasi yang berpaksikan ekonomi bersama, kata Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid.
KOIRAMA terbuka keahliannya kepada penggiat seni, pemilik label, penerbit, komposer, artis indie serta tenaga kerja dalam ekosistem muzik untuk menyertai gerakan koperasi yang berpaksikan ekonomi bersama.
Pada 21 Julai 2025, IRAMA mengumumkan KOIRAMA telah berjaya didaftarkan secara rasmi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan nombor daftar 202559502546.
“IRAMA berhasrat memperkukuh kedudukan industri muzik di Malaysia dengan memberi peluang kepada ahlinya untuk mengurus dan menganjurkan acara serta program promosi.
“Melaksanakan pemasaran produk muzik melalui platform digital, menyediakan bimbingan pengurusan industri muzik, studio dan bengkel,” kata Ayob dalam kenyataan.
Selain itu, KOIRAMA juga akan mengendalikan perkhidmatan kewangan berasaskan syariah seperti Ar-Rahnu.
Menurut beliau, KOIRAMA ditubuhkan dengan matlamat utama meningkatkan kepentingan ekonomi anggota berasaskan prinsip koperasi, keanggotaan sukarela, kawalan demokratik, penglibatan ekonomi serta kerjasama berterusan dalam komuniti muzik dan masyarakat.
Pengerusi IRAMA menegaskan KOIRAMA bukan sekadar wadah komersial tetapi platform strategik untuk memastikan penggiat muzik tempatan mempunyai akses kepada peluang perniagaan, perlindungan hak dan jaminan ekonomi yang lebih mampan.
Dengan pendaftaran rasmi ini, KOIRAMA akan memulakan pelbagai inisiatif bagi melibatkan lebih ramai penggiat seni dalam sektor koperasi serta menyumbang kepada perkembangan industri kreatif negara. – MalaysiaGazette















