BUTTERWORTH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang memperhebat pemeriksaan rawak di stesen minyak bagi memastikan subsidi petrol program Budi Madani RON95 (BUDI95) digunakan mengikut ketetapan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, pemeriksaan itu melibatkan pengesahan penggunaan MyKad serta penguatkuasaan larangan kenderaan asing mengisi petrol RON95 bersubsidi.
Katanya, pemantauan turut melibatkan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) membabitkan kira-kira 200 buah stesen minyak di seluruh negeri.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekalkan integriti sistem subsidi dan memastikan manfaat sampai kepada penerima yang layak.

“Setakat ini kita telah menjalankan pemeriksaan di 15 buah stesen minyak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Pemeriksaan Sempena Pelaksanaan Penyelarasan Subsidi Petrol melalui SKPS dan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, hanya satu aduan diterima setakat ini, namun siasatan mendapati ia berpunca daripada kekeliruan ketika menggunakan sistem sehingga pengguna terbabit tersilap membayar RM2.60 seliter bagi RON95 berbanding harga subsidi RM1.99.
“Sistem transaksi semuanya berjalan lancar, cuma kesilapan manusia (pengguna) yang perlu kita elakkan seperti satu aduan yang kita terima ini.
“Jika tidak faham (cara penggunaan) boleh minta bantuan daripada pihak pengusaha stesen minyak supaya mereka yang kali pertama menggunakannya dapat membeli dengan harga subsidi,” katanya. – MalaysiaGazette















