KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) kesal dengan insiden melibatkan beberapa pemandu e-hailing yang didakwa dihalang daripada menghadiri sesi Taklimat Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di ibu negara, semalam.
Menurut persatuan itu, pihaknya dimaklumkan pemandu berkenaan bukan sahaja tidak dibenarkan memasuki premis oleh wakil daripada dua pertubuhan, malah turut ditanya sama ada mereka menyokong atau menentang RUU tersebut.
“Lebih mengecewakan, mereka diberitahu taklimat berkenaan adalah program dalaman pihak penganjur, walhal poster dan jemputan telah tersebar secara terbuka dalam kalangan komuniti pemandu serta penghantar,” katanya dalam kenyataan hari, ini.
Pihaknya menegaskan tujuan kehadiran pemandu dan penghantar ke sesi berkenaan adalah semata-mata untuk mendapatkan penjelasan serta kefahaman mengenai RUU yang bakal memberi kesan langsung kepada masa depan industri gig, bukannya untuk menyatakan sokongan atau bantahan.
Justeru, persatuan itu berpendapat tindakan menghalang pemandu memasuki premis adalah tidak wajar kerana mereka merupakan pemegang taruh utama dalam industri tersebut.
“Setiap pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat tepat serta menyuarakan pandangan.
“Kami menggesa agar semua pihak penganjur lebih berhemah, telus dan inklusif dalam mengendalikan program sebegini supaya matlamat sebenar perbincangan RUU Pekerja Gig 2025 tercapai, iaitu memastikan kebajikan dan kepentingan pekerja gig benar-benar terbela,” ujarnya.
Sementara itu, Penghantar berkata, insiden tersebut tidak wajar dikaitkan dengan pejabat Menteri Sumber Manusia atau mencemarkan nama baik beliau.
“Hal ini kerana Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan pasukannya sentiasa bersikap terbuka, inklusif serta meraikan pandangan semua pihak dalam usaha membangunkan rangka kerja terbaik untuk industri gig selama ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette















