Woo Kah Leong

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH), Woo Kah Leong mengingatkan kumpulan pemuda supaya jangan sesekali mengeruhkan keadaan, menambah masalah, berlagak hero atau menyebabkan ahli keluarga mangsa misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menjadi lebih rimas.

Menurut beliau yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), sekiranya tidak mampu membantu, kumpulan pemuda seharusnya mendoakan agar semua tahanan khususnya rakyat Malaysia kekal selamat.

“Setiap orang ada ahli keluarga masing-masing, cuba bayangkan perasaan anda kalau yang ditahan itu adalah ahli keluarga sendiri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Kah Leong, sejak awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberikan maklum balas dengan segera berhubung kejadian melibatkan GSF, bukannya menunggu pihak lain menyediakan teks ucapan buat beliau.

“Tidak ada karenah birokrasi dan tiada bahasa berbunga-bunga yang kabur.

“Kenyataan rasmi yang berperingkat negara telahpun dikeluarkan serta-merta dan pendirian negara kita adalah cukup jelas, yakni bebaskan semua tahanan,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, adalah wajib untuk semua pihak berperanan sebagai benteng kepada Anwar untuk memaksimakan kekuatannya dalam berunding di peringkat antarabangsa.

“Hanya ada satu musuh di depan mata kita, iaitu Israel,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh hari ini mendesak kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini sekiranya semua aktivis GSF terutama rakyat Malaysia yang ditahan Israel tidak dibebaskan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, sekiranya jemputan itu tidak dibatalkan, Pemuda UMNO seluruh negara akan mengadakan bantahan di hadapan Trump secara besar-besaran semasa lawatan pemimpin berkenaan ke Kuala Lumpur kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast