Zulhafni (kiri) menandatangani dokumen persetujuan bersama Dzul Azmi (kanan) di pejabat MCORP, Selasa lalu.

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka mengemukakan lima cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) berhubung pengurusan kewangan kutipan hasil perniagaan syarikat itu.

Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Melaka, Dzul Azmi Yahya berkata, antaranya ialah menukar nombor kombinasi peti besi sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi mengelakkan kebocoran maklumat kerana ia dikategorikan tempat berisiko tinggi.

“Kita turut mencadangkan lantikan sekurang-kurangnya dua pegawai pemegang anak kunci atau nombor kombinasi peti besi supaya operasi tidak terjejas jika salah seorang bercuti atau tiada di pejabat.

“Selain itu, MSSB diminta mengeluarkan surat lantikan rasmi kepada pegawai terbabit serta memperincikan hukuman punitif sekiranya berlaku pelanggaran garis panduan kewangan dan perakaunan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dzul Azmi (tujuh dari kanan) bergambar bersama kakitangan MSSB.

Kesemua syor itu disampaikan kepada Pengurus Besar MSSB, Zulhafni Mad Rahis dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Melaka (MCORP), Muhammad Ridzwan Yap Abdullah pada Majlis Menandatangani Persetujuan Penambahbaikan Tatakelola MSSB di pejabat MCORP, Selasa lalu.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Melaka, Muhammad Aiman Lingen Abdullah; Ketua Unit Penyiasatan Tatakelola, Ng Peik Lee dan Pegawai Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Mahmud Ahmad.

Menurut SPRM, syor penambahbaikan tatakelola oleh Unit Penyiasatan Tatakelola (UPT) SPRM Melaka itu dibuat berdasarkan kertas siasatan Mei lalu.

Dapatan itu mendedahkan kelemahan dalam garis panduan pengurusan kewangan MSSB, khususnya kaedah penyimpanan hasil kutipan yang berpotensi membuka ruang kepada penyelewengan.

Zulhafni dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada SPRM atas usaha memperkukuh tatakelola syarikat bagi menutup ruang ketirisan dan penyelewengan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast