KUALA LUMPUR – Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta memberi ruang dan kepercayaan supaya proses siasatan oleh Lembaga Disiplin berhubung kemelut dalaman parti itu berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Lembaga Disiplin parti itu telah diberikan mandat penuh untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti.
Terdahulu, menurutnya, beliau amat memahami keresahan dan kegusaran yang sedang dirasai oleh ahli-ahli Bersatu berhubung cabaran yang sedang dihadapi parti tersebut.
Dalam suasana seperti itu, tambahnya, perkara paling penting adalah supaya setiap ahli kekal bertenang, berdisiplin dan yakin bahawa segala isu akan diuruskan melalui saluran parti yang sah.
“Sebarang tindakan luar daripada saluran ini hanya akan melemahkan parti dan memberi ruang kepada musuh politik kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Bersatu ketika ini berada dalam perjuangan yang jauh lebih besar iaitu memperkukuhkan parti dan PN serta membela kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua ahli Bersatu supaya tidak sesekali membiarkan cabaran dalaman mengalih perhatian daripada matlamat tersebut.
“Saya menyeru seluruh ahli untuk terus berdiri teguh, saling menyokong dan menzahirkan kesetiaan kepada perjuangan parti.
“Saat inilah kita diuji, dan saya yakin dengan kesabaran serta disiplin, kita akan keluar daripada cabaran ini lebih kuat, lebih utuh dan lebih bersatu,” katanya.
Bersatu kini berdepan konflik dalaman serius susulan pelbagai pendedahan yang dibuat bekas Ketua Penerangan parti itu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada sidang akhbar minggu lalu.
Antara lain, Wan Saiful mendedahkan, beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video tular membabitkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Sandakan, Sabah, pada 2019 sebagai tulen.
Sehubungan itu, Wan Saiful mendakwa Mohamed Azmin tidak layak untuk menjadi pemimpin Bersatu selagi kontroversi berhubung video terbabit tidak diselesaikan.
Wan Saiful pada sidang media sama turut mendakwa akuan bersumpah (SD) yang dikumpul membabitkan 120 ketua bahagian parti itu bukan bertujuan mendesak Muhyiddin berundur sebagai Presiden Bersatu, sebaliknya hanya untuk menyokong ahli MPT memberi mandat kepada Muhyiddin bagi menyusun pelan peralihan parti. – MalaysiaGazette
















