KENYATAAN akhbar DAPSY Kebangsaan berhubung kontroversi dengan Pemuda UMNO dalam isu GSF.

KUALA LUMPUR – Perang mulut antara Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan dan Pemuda UMNO berhubung isu misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) terus berlanjutan apabila DAPSY Kebangsaan hari ini tampil mempertahankan kenyataan mereka sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, DAPSY Kebangsaan berkata, kenyataan dibuat Ketuanya, Woo Kah Leong berhubung insiden melibatkan GSF adalah jelas dan tepat iaitu menyeru agar tiada pihak yang mengeruhkan keadaan.

Dalam masa sama, katanya, Kah Leong turut menegaskan supaya semua pihak harus berperanan sebagai benteng kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah mengambil tindakan pantas dan tegas dalam usaha menyelamatkan tahanan GSF, khususnya warga Malaysia.

Malangnya, tambah kenyataan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sekali lagi membuktikan reputasi sebagai ‘samseng politik’ yang paling mudah terasa dan cepat koyak.

“Daripada berdiri teguh di belakang PMX, Akmal memilih untuk mencerca dan menyerang pihak yang hanya menyeru bahawa Israel adalah musuh utama.

“Adakah Akmal tidak bersetuju dengan seruan Ketua DAPSY bahawa Israel adalah satu-satunya musuh di depan mata?” katanya.

Tambah kenyataan itu, insiden melibatkan GSF adalah amat serius, sekali gus memerlukan kebijaksanaan pemimpin serta empati terhadap keluarga tahanan, dan sokongan padu kepada Anwar dalam rundingan antarabangsa, bukannya gimik politik yang mengeruhkan keadaan.

Sehubungan itu, tambahnya, DAPSY Kebangsaan menegaskan bahawa serangan peribadi, bahasa samseng dan politik kebencian yang ditunjukkan oleh Dr. Muhamad Akmal tidak membantu sesiapa pun dan hanya menyerlahkan sifat tidak matang dan pemikiran sempit beliau.

Jelasnya, isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu ditangani secara kolektif.

Katanya, selepas Anwar segera membuat kenyataan keras mengenai isu GSFs, semua pihak termasuk ahli politik tidak seharusnya menjadikan isu itu sebagai pentas untuk menonjolkan ego politik atau menguji siapa lebih hero.

“Sekiranya begitu hebat, kenapa samseng politik tersebut yang kini berada di Amerika Syarikat tidak mengepung White House dan berdepan dengan Trump secara terus?

“Tidak perlulah menunggu Sidang Kemuncak ASEAN memandangkan diri sendiri sudah berada di situ. Hentikanlah segala aksi hipokrit,” katanya.

Tambahnya, DAPSY Kebangsaan menyeru semua pihak terus kekal fokus kepada isu sebenar dan mendoakan semua tahanan khususnya warga Malaysia selamat, bukannya sibuk bertindak samseng dengan mencaci orang lain.

Semalam, Kah Leong yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH) dalam satu kenyataan mengingatkan kumpulan pemuda supaya jangan sesekali mengeruhkan keadaan, menambah masalah, berlagak hero atau menyebabkan ahli keluarga mangsa misi kemanusiaan GSF menjadi lebih rimas.

Menurut beliau, sekiranya tidak mampu membantu, kumpulan pemuda seharusnya mendoakan agar semua tahanan khususnya rakyat Malaysia kekal selamat.

Bagaimanapun, kenyataan Kah Leong itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa pemimpin Pemuda UMNO.

Terdahulu, Dr. Muhamad Akmal mendesak kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden AS, Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini sekiranya semua aktivis GSF terutama rakyat Malaysia yang ditahan Israel tidak dibebaskan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, sekiranya jemputan itu tidak dibatalkan, Pemuda UMNO seluruh negara akan mengadakan bantahan di hadapan Trump secara besar-besaran semasa lawatan pemimpin berkenaan ke Kuala Lumpur kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast