KUALA LUMPUR – Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR kesal arak dihidangkan semasa Majlis Makan Malam Gala ‘Global Travel Meet 2025’ oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), baru-baru ini.
Pengerusinya, Amidi Abdul Manan berkata, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mesti bertanggungjawab dan memberikan penjelasan bagaimana perkara seumpama itu boleh berlaku sedangkan ia adalah program rasmi kerajaan.
Tambah beliau, hidangan arak dalam majlis rasmi boleh mencemarkan imej kerajaan yang mahu kesejahteraan untuk rakyatnya dan manusia sejagat.
“Dalam pelbagai pesona yang menggamit kehadiran pelancong, salah satu yang menghadirkan pujian ialah ketenangan kehidupan malam yang tidak dicemari oleh pemabuk-pemabuk yang berkeliaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu Amidi berkata, BiPPA menuntut King Sing membuat penjelasan dan permohonan maaf terbuka kepada rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette















