JOHOR BAHRU – Seorang penunggang maut manakala pemboncengnya cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Skudai, Pantai Lido menghala ke Skudai di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian berlaku pukul 7.10 malam melibatkan motosikal jenis Yahama 15ZR dan kereta Proton Persona serta Honda Jazz.
“Hasil siasatan mendapati, Proton Persona yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun telah berhenti di lorong tengah setelah kenderaan di hadapannya turut berhenti.
“Secara tiba-tiba, Yahama 15ZR yang datang dari arah belakang hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, akibatnya menyebabkan Proton Persona terdorong ke depan dan melanggar bahagian belakang Honda Jazz di hadapannya yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan bekerja sebagai operator kilang.
Tambahnya, akibat kemalangan itu penunggang mengalami kecedreaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Pembonceng pula cedera di kaki kiri, mulut dan kini dirawat di zon kuning HSA manakala kedua-dua pemandu kereta terlibat tidak cedera dan sudah tampil ke balai polis bagi membuat laporan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini dan kemalangan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya.
Pihaknya memohon saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan bagi memberikan keterangan kepada pihak polis atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurulhadi Ali 019-5230102.- MalaysiaGazette
















