Mohd Ali (tiga dari kiri) memalu gong sebagai simbolik perasmian Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan CIDB 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.

MELAKA – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan membina Akademi Binaan Malaysia (ABM) di negeri ini selain cawangan tetap CIDB kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, pembinaan dua kemudahan utama itu dijangka dibangunkan atas kawasan seluas kira-kira dua hektar bagi menampung keperluan latihan dan pembangunan tenaga kerja mahir dalam sektor pembinaan di Melaka.

“CIDB sedang mencari lokasi untuk membina cawangan tetap CIDB serta ABM bagi negeri Melaka yang mana tapaknya dianggarkan seluas lima ekar (dua hektar).

“Ia akan menempatkan pejabat baharu CIDB, pusat latihan serta kemudahan teknikal untuk industri pembinaan,” katanya pada sidang media selepas Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan CIDB 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Mohd Ali (Tengah) menyampaikan sijil kepada rakan strategik selepas Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan CIDB 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, langkah itu penting memandangkan pejabat CIDB Melaka yang beroperasi sejak 2008 kini menyewa di premis di Tasik Utama dan tidak lagi sesuai menampung keperluan operasi serta latihan sedia ada.

“Kawasan sedia ada agak terhad sebab itu mahu membangunkan kawasan yang lebih luas dan moden supaya boleh menempatkan kemudahan latihan kontraktor, pelatih industri dan pusat rujukan sektor pembinaan negeri ini.

“Kewujudan ABM di Melaka akan membolehkan lebih ramai kontraktor kecil dan belia tempatan mengikuti kursus serta pensijilan kemahiran tanpa perlu ke pusat latihan di negeri lain,” katanya.

Ahmad Maslan

Tambahnya, ketika ini, kontraktor dari Melaka terpaksa ke ABM Wilayah Selatan di Tampoi, Johor, atau ke Kuala Lumpur untuk mengikuti latihan.

“Walaupun fasiliti yang akan dibina di Melaka tidak sebesar kampus latihan wilayah lain, ia tetap menjadi pusat penting latihan dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi di tengah selatan Semenanjung.

“Melaka berada di kedudukan strategik antara Johor dan Kuala Lumpur jadi pembinaan ABM ini sangat relevan bagi menyokong keperluan industri pembinaan negeri yang pesat membangun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast