KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memberi tumpuan khusus kepada pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur asas di kawasan pedalaman termasuk jalan raya, hospital, sekolah, bekalan air dan elektrik.
Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, kerajaan sedar cabaran besar yang dihadapi penduduk luar bandar dan pedalaman terutama di Sarawak yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas dan prasarana mencukupi.
“Jurang pembangunan ini perlu ditangani secara berfokus bagi memastikan rakyat di pedalaman turut menikmati faedah pembangunan negara,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Hanifah, pelaksanaan projek di bawah RMK13 akan digerakkan berlandaskan tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai dan memperkukuh tadbir urus, selaras dengan pendekatan Ekonomi Madani.
“Strategi ini akan diterjemahkan melalui projek-projek seperti peluasan jaringan jalan luar bandar, peningkatan akses air bersih, bekalan elektrik, kemudahan pendidikan dan kesihatan, serta peluasan liputan digital,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kelulusan projek pembangunan akan dibuat berasaskan data dan keperluan sebenar rakyat dengan mengambil kira keutamaan kerajaan negeri supaya pelaksanaannya selaras dengan matlamat pembangunan negara seperti digariskan dalam RMK13.
Hanifah turut memaklumkan, Kementerian Ekonomi telah melaksanakan Program Jelajah Jalinan Borneo sepanjang dua bulan lalu bagi memperkenalkan RMK13 kepada masyarakat tempatan serta mendapatkan cadangan dan maklum balas rakyat mengenai keperluan pembangunan setempat.
“Melalui sesi libat urus ini, kita telah menerima pelbagai cadangan daripada orang awam berkaitan projek dan program yang dianggap kritikal bagi pembangunan penduduk setempat. Maklum balas ini akan disalurkan kepada semua kementerian yang berkaitan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan kini sedang membangunkan sistem MyRMK bagi memperkukuh proses pemantauan pelaksanaan strategi dan inisiatif di bawah RMK13.
“Semua kementerian akan melaporkan pencapaian inisiatif RMK13 setiap suku tahun melalui sistem tersebut. Pemantauan projek pula akan menggunakan sistem sedia ada, MyProjek, yang menilai kemajuan pelaksanaan di peringkat kementerian dan negeri.
“Perhatian khusus turut diberikan kepada projek yang dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette















