Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menuntut kerajaan segera menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat sepenuhnya dakwaan pemalsuan dokumen pemain naturalisasi seperti dibangkitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan itu termasuk mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam penyediaan dan pengesahan dokumen palsu serta peranan yang dimainkan oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Selain itu, menurutnya, siasatan juga perlu meneliti sebarang kecenderungan wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik.

Tegas beliau, pendedahan yang dibuat FIFA telah mengubah kes itu daripada kesilapan pentadbiran biasa kepada penipuan dan pemalsuan dokumen rasmi negara, iaitu suatu perbuatan yang amat serius dan mencemarkan maruah serta reputasi Malaysia di mata dunia.

“Sebagaimana ditegaskan FIFA bahawa tindakan ini adalah suatu penipuan dan jelas melanggar prinsip kejujuran dan integriti sukan.

“Jika FIFA sendiri boleh mendapatkan sijil asal dari luar negara dengan mudah, alasan bahawa FAM tidak dapat membuat semakan kesahihan dokumen adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima.

“Kesimpulan laporan FIFA amat jelas, iaitu pemalsuan ini bukanlah kesilapan teknikal, tetapi merupakan penipuan terancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, FIFA dalam laporan lebih 6,000 perkataan menjelaskan berjaya memperoleh sijil kelahiran asal nenek moyang pemain naturalisasi daripada Pejabat Pendaftaran di negara asal mereka, termasuk di Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.

FIFA juga mendapati dokumen yang dikemukakan oleh FAM telah diubah suai, dengan tempat lahir asal di luar negara ditukar kepada negeri-negeri di Malaysia, iaitu di Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sarawak.

Tambah Takiyuddin, lebih mengejutkan, JPN dilaporkan mengaku tidak pernah menerima dokumen asal pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan sijil berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap (hearsay).

Katanya, ia juga menunjukkan kelemahan ketara dalam sistem semakan dokumen oleh FAM serta agensi kerajaan seperti JPN dan KDN.

“Keadaan ini turut menggambarkan Malaysia kini dilihat sebagai sebuah negara yang gagal mempertahankan integriti dan kejujuran dalam urusan rasmi antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast