Datuk Ngwe Hee Sem

MELAKA – Kadar konsultansi kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) di Melaka menunjukkan peningkatan pada Minggu Epidemiologi ke-40 (ME 40) 2025, dari 28 September hingga 4 Oktober, berbanding minggu sebelumnya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pada ME 40, ia mencatatkan 12.5 peratus, meningkat berbanding 10.4 peratus pada minggu ME 39.

“Berdasarkan taburan umur, golongan kanak-kanak bawah 18 tahun mencatatkan kadar tertinggi iaitu 34.2 peratus, meningkat berbanding 29.0 peratus minggu lalu.

“Manakala bagi golongan dewasa berumur lebih 18 tahun, kadar meningkat kepada 6.8 peratus berbanding 6.2 peratus pada ME 39,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, bagi kes virus Influenza A, sehingga ME 40, jumlah dikesan ialah 160 kes, terdiri daripada 97 kes Influenza A (H1N1) dan 63 kes Influenza A (H3N2) selain terdapat 122 kes COVID-19 dan 46 kes Influenza B dilaporkan.

“Terdapat satu wabak Influenza A dilaporkan di sebuah sekolah di daerah Alor Gajah, namun wabak berkenaan kini berada keadaan terkawal.

“Walaupun ada sekolah yang berpuluh muridnya dijangkiti Influenza A, tapi sekolah masih diteruskan seperi biasa kerana amalan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini adalah mengutamakan pendidikan.

“Jadi mana-mana murid yang dijangkiti Influenza A, mereka akan dinasihatkan kuarantin di rumah sahaja dan setakat ini kes masih terkawal dan tidak begitu serius,” tambahnya.

Tambahnya, selain itu, tiga klinik kesihatan sentinel di negeri ini merekodkan peningkatan konsultasi kes ILI yang lebih tinggi bagi ME 40.

“Klinik Kesihatan (KK) Peringgit dan KK Masjid Tanah masing-masing mencatat kadar tertinggi iaitu 17.5 peratus, berbanding 13.7 dan 14.1 peratus pada minggu sebelumnya.

“KK Jasin turut menunjukkan pertambahan kes dengan kadar konsultasi 2.6 peratus berbanding 1.2 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-39 (ME 39).

Sementara itu Hee Sem berkata, kadar kemasukan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Melaka mencatatkan sedikit penurunan, iaitu 11.8 peratus berbanding 12.5 peratus pada minggu sebelumnya.

“Baigi kategori umur, kemasukan pesakit bawah 13 tahun menurun kepada 25.9 peratus berbanding 27.5 peratus, manakala pesakit berumur lebih 13 tahun turut menurun kepada 8.2 peratus berbanding 8.6 peratus pada ME 39,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast