GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kadar Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam kalangan pekebun kecil di Sabah kini telah mencapai 96.09%, melibatkan
30,768 orang pekebun kecil dengan keluasan 191,517.96 hektar.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, angka ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi pekebun kecil Sabah dalam
pematuhan piawaian MSPO selaras dengan misi Kementerian untuk membangunkan industri sawit yang mampan.

“Pelaksanaan MSPO bukan sekadar berupaya meningkatkan penerimaan pasaran global, tetapi juga memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil seperti
pengurusan Amalan Pertanian Baik, penjagaan alam sekitar, serta peningkatan kualiti hasil yang akhirnya membawa kepada peningkatan pendapatan,”
katanya semasa menghadiri ke Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil Sawit di daerah Keningau, Sabah hari ini.

Menurut Chan, bilangan pekebun kecil bersijil bagi daerah Keningau adalah 2,104 orang dengan keluasan 10,086.33 hektar.

Beliau berkata, sehingga September 2025, sebanyak 796 permohonan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) telah diluluskan di negeri Sabah, melibatkan keluasan 3,420 hektar dengan jumlah pembiayaan melebihi RM10 juta.

“Bagi daerah Keningau sahaja, sebanyak 94 permohonan telah diluluskan dengan jumlah keluasan tanaman sekitar 398 hektar,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa Sabah adalah penerima negeri tertinggi bagi Skim TSPKS 2.0 dengan nilai peruntukan berjumlah RM41.07 juta pada tahun 2024.

Bagi tahun 2025 pula, Sabah kekal sebagai penerima negeri tertinggi dengan penerimaan peruntukan sebanyak RM11.457 juta (30.66%) setakat Julai 2025.

Chan turut menggalakkan pekebun kecil sawit persendirian untuk terlibat aktif dalam Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) serta menyertai pelbagai program
anjuran MPOB yang dapat meningkatkan pengetahuan teknikal dan hasil produktiviti kebun.

Beliau turut memaklumkan kerajaan telah meluluskan enam permohonan bantuan di bawah Skim Mekanisasi KPSM (SMK) berjumlah RM444,900, yang meliputi bantuan peralatan dan jentera ladang bagi menggalakkan penggunaan teknologi serta mekanisasi moden dalam kalangan pekebun kecil persendirian.

“Pekebun kecil sawit persendirian diseru agar memanfaatkan sepenuhnya pelbagai bentuk sokongan dan bimbingan yang disediakan oleh kerajaan melalui Lembaga
Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi meningkatkan produktiviti, pendapatan serta amalan pertanian baik (GAP),” ujar beliau.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir pula menekankan kepentingan MSPO yang menggalakkan penerapan amalan pertanian baik (GAP) serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

“Pensijilan MSPO bukan sahaja menjamin kemampanan industri sawit negara, malah memberi manfaat berganda kepada pekebun kecil melalui akses pasaran
yang lebih luas dan peningkatan kecekapan operasi,” katanya.

MSPO telah diwajibkan mulai Januari 2020 sebagai usaha kerajaan memastikan kelestarian sektor sawit negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast