Muhammad Zakwan.

GEORGE TOWN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menyifatkan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) membuang empat pelajar yang terlibat dalam kes rogol di sebuah sekolah di Melaka sebagai langkah yang tepat dan berani.

Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal  berkata, keputusan tegas itu membuktikan kesungguhan KPM dalam memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat dan bebas daripada jenayah.

“Perbuatan rogol adalah jenayah keji yang tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan. Pelaku perlu menerima hukuman setimpal tanpa sebarang tolak ansur.

“Kegiatan jenayah seksual tidak akan diterima dalam mana-mana institusi pendidikan. Ini isyarat jelas bahawa sekolah bukan tempat untuk sebarang bentuk jenayah.

“Jadi kita percaya tindakan buang sekolah itu bukan sahaja memberi mesej jelas kepada pelajar lain, tetapi juga menjadi langkah pencegahan penting agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas isu sama ada pelajar terlibat perlu dibenarkan menduduki SPM, Zakwan berkata, masyarakat tidak seharusnya menjadikan perkara itu sebagai fokus utama.

“Kes ini sudah disiasat polis dan kini dalam proses siasatan sebelum dibawa sistem kehakiman. Fokus sebenar perlu diberikan kepada usaha membentuk sahsiah pelajar dan pencegahan awal melalui pendidikan nilai dan disiplin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru KPM memperkukuh program kesedaran jenayah seksual dan intervensi awal di sekolah melibatkan guru, kaunselor dan ibu bapa.

“Langkah ini penting bagi membina budaya sekolah yang menghormati maruah dan keselamatan setiap pelajar.

“Pendekatan ini selari dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara pelaksanaan undang-undang dan pembinaan masyarakat berakhlak.

“Setiap perbuatan ada akibat. Lebih baik mencegah awal daripada menyesal kemudian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast