Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba menyebabkan kematian dua anggota polis dengan cara cuba melanggar mereka menggunakan kereta, Ogos lalu.

Quah Mun Foo, 49, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal Imanuil Soineh, 34 dan Sub Inspektor Mohd Nor Erzuwan, 38, menggunakan kenderaan jenis Perodua Alza.

Tertuduh mengetahui yang mana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kematian dua anggota itu di pintu masuk sebuah apartment di Jalan Tasik Permaisuri dan di persimpangan lampu isyarat di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, di sini antara 11.30 malam dan 11.40 malam, 30 Ogos lalu.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Md Hassan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah.

Hakim Noridah Adam membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast