JOHOR BAHRU – Pasukan hoki negara, Young Tigers menghampakan skuad New Zealand 4-2 pada aksi ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya di sini hari ini.
Kemenangan itu dilihat menyemarakkan lagi semangat skuad kendalian Nor Saiful Zaini itu bagi meneruskan cabaran bagi mengharungi baki perlawanan pada edisi kali ini.
Young Tigers sebelum ini tumpas 2-7 kepada Pakistan pada Sabtu lalu sebelum terikat 1-1 ketika berdepan Australia kelmarin memulakan aksi dengan penuh bersemangat apabila dilihat kerap mengasak ke pintu gol New Zealand.
Tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan hingga tamat suku pertama meskipun skuad negara mempamerkan aksi bertenaga.
Namun skuad muda tersebut hanya memerlukan seminit bagi membuka jaringan menerusi P Naaveenesh sebaik suku kedua.
Dua minit kemudian, Naaveenesh sekali lagi menggamatkan Stadium Hoki Johor menerusi gol kedua pada minit ke-19 dan seminit kemudian giliran Ammar Qusairi Abd Halim menjaringkan gol ketiga buat skuad muda negara.
Memasuki suku ketiga, skuad muda New Zealand dilihat mula bangkit mengasak ke pintu gol skuad negara.
Hasilnya, pintu gol Young Tigers dibocori sebanyak dua kali dalam tempoh tiga minit bermula dengan jaringan Javanh Jones pada minit ke-45 diikuti jaringan Rocco Ludolph pada minit ke-48.
Suku keempat menyaksikan New Zealand membuat power play, namun tindakan itu mengundang padah apabila Muhammad Danish Irfan Muhammad Saufi berjaya menjaringkan gol keempat yang juga merupakan gol kemenangan skuad Young Tigers pada minit ke-57.- MalaysiaGazette
















