Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan di PICC, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Advance Pact Sdn. Bhd. (AP) hari ini mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pembangunan peranti perubatan tempatan dengan penyertaan rasmi sebagai Rakan Strategik bagi International Medical Device Conference (IMDEC 2026) anjuran Medical Device Authority (MDA).

Majlis pelancaran IMDEC 2026 oleh MDA hari ini turut menyaksikan simbolik penyerahan VS1 Portable Ventilator, peranti perubatan pertama buatan Malaysia yang dibangunkan sepenuhnya oleh AP, kepada tiga buah hospital.

Penyerahan itu sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan kerjasama mereka sepanjang proses pembangunan dan penilaian produk tersebut.

Tiga hospital berkenaan ialah:

Hospital Al-Sultan Abdullah (UiTM Hospital, Sungai Buloh) yang diwakili oleh Pengarah Hospital, Prof Dr Mohd Zamrin Dimon – terlibat dalam clinical trial VS1 yang dijalankan ke atas pesakit sebenar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menyaksikan penyerahan peranti ventilator VS1 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil kepada Timbalan Pengarah Perubatan 1, Hospital Kuala Lumpur , Dr Nor Hayati Ibrahim pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan di PICC, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OKTOBER 2025.

Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sultan Idris Shah masing-masing diwakili oleh Dr Nor Hayati Ibrahim (Timbalan Pengarah Perubatan I) dan Dr Farique Rizal Abdul Hamid (Pengarah Hospital) – memainkan peranan penting dalam sesi penilaian awal produk semasa fasa pembangunan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil menyerahkan peranti ventilator VS1 kepada Pengarah Hospital Sultan Idris Shah, Dr Farique Rizal Abdul Hamid pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Keusahawanan Sektor Peranti Perubatan di PICC, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OKTOBER 2025.

Penyerahan peranti ini bertujuan membolehkan VS1 diuji dan digunakan dalam persekitaran klinikal sebenar, sekaligus menandakan satu lagi langkah penting dalam membuktikan keupayaan peranti perubatan buatan tempatan menepati piawaian antarabangsa.

VS1 Portable Ventilator telah mendapat kelulusan pendaftaran produk daripada MDA pada 14 Mei 2025 selepas melalui siri penilaian klinikal yang komprehensif, dan pembuatan berskala (manufacturing) telah dimulakan pada Oktober 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil.

Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata,penyertaan AP dalam IMDEC 2026 serta penyerahan VS1 ini melambangkan komitmen syarikat terhadap agenda nasional dalam memperkasa industri peranti perubatan tempatan.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MDA dan hospital-hospital rujukan utama negara dalam membuktikan bahawa Malaysia berupaya membangunkan dan mengeluarkan peranti perubatan berteknologi tinggi yang memenuhi keperluan pasaran global,” ujar beliau.

Ventilator VS1

IMDEC 2026 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos 2026, bakal menghimpunkan pemain industri, pakar kejuruteraan, penyelidik, pengawal selia dan akademia dari dalam dan luar negara bagi membincangkan hala tuju pembangunan serta pensijilan peranti perubatan dari konsep hingga ke pengkomersialan.

Advance Pact akan turut menganjurkan program konferen bertajuk “Medtech Development International Conference (MEDIC 26)” bertemakan “Certifying Devices Innovation from Concept to Commercialisation.” – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast