KUALA LUMPUR – Dua bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 218(1)(c) dan Seksyen 221(1) Akta Syarikat 2016.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Gunasekar Mariappan dan Philip Phang Kin Ming, bekas pengarah M Jets International Sdn Bhd, didakwa di bawah Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 kerana menggunakan kedudukan mereka untuk meluluskan kenaikan gaji antara satu sama lain, tanpa persetujuan mesyuarat agung.
Gunasekar juga dituduh di bawah Seksyen 221 (1) Akta Syarikat 2016, kerana gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam kontrak Tenancy Agreement antara individu bernama Vimala E. Doraisamy dan M Jets International Sdn Bhd berhubung sewaan satu unit premis.
SSM dalam kenyataannya berkata, kedua-dua tertuduh memohon untuk dibicarakan.
Hakim Ahmad Fuad Othman telah menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amir Sharifuddin Hashim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam bela, Latheefa Koya dan Eric Paulsen.
“SSM mengambil tindakan perundangan ini sebagai satu peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang yang dikawal selia oleh SSM,” katanya.
Usaha itu katanya, bagi memastikan tadbir urus korporat serta pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia. -MalaysiaGazette















