SEREMBAN – Malaysia mencatat sejarah baharu dalam pembangunan infrastruktur hijau apabila R&R Seremban (Arah Selatan) dipilih sebagai lokasi pertama Hab Pengecasan Kenderaan Elektrik (EV) Bersepadu negara.
Ia sekali gus menjadikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sebagai hab mobiliti moden berteknologi tinggi negara.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hab perintis di atas tapak seluas satu hektar itu dijangka siap pada awal 2027 dengan kos pembangunan kira-kira RM12 juta.

“Ia lengkap dengan kemudahan 20 poin pengecasan ultra pantas berkuasa sehingga 350 kilowatt (kW) yang mampu mengecas penuh kenderaan dalam masa hanya 20 hingga 30 minit.
“Projek berimpak tinggi itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pengecasan, tetapi simbol perubahan ke arah gaya hidup hijau dan penanda aras baharu dalam pembangunan R&R,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab EV Bersepadu pertama di Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, projek ke arah usaha menjadikan negara lebih lestari dan mencapai matlamat sifar karbon itu dijangka siap serta boleh digunakan pada awal 2027.
Projek berkenaan jelasnya adalah hasil kerjasama strategik antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS Malaysia Berhad dan Yinson Greentech Sdn. Bhd., dengan reka bentuk yang mengintegrasikan sistem tenaga solar, ruang rehat moden, surau serta kemudahan makanan dan minuman bagi keselesaan pengguna.

“Projek sebegini akan memberi impak langsung kepada rakyat, bukan sahaja melalui kemudahan hijau mesra pengguna, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan menarik pelaburan baharu.
“Ia contoh model Malaysia Madani yang menggabungkan kekuatan sektor awam dan swasta,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander turut mengulas keluhan segelintir pengendali stesen pengecas EV yang berdepan kesukaran mendapatkan kelulusan dan bekalan kuasa di lebuh raya.
“Kementerian Kerja Raya berperanan sebagai fasilitator dan regulator… kalau ada kerenah birokrasi, saya minta agensi berkaitan permudahkan, tanpa menjejaskan keselamatan dan aspek undang-undang,” tegasnya. – Malaysiagazette
















