GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menggalakkan pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), memakai pelitup muka di tempat terbuka sepanjang cuti Deepavali bermula Isnin ini bagi mengurangkan risiko jangkitan influenza apabila sekolah dibuka semula.
Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, langkah itu sebagai persediaan awal berikutan kemungkinan berlaku jangkitan selepas cuti disebabkan pergerakan dan pertemuan keluarga ketika perayaan.
“Memandangkan cuti persekolahan bermula minggu depan, kita bimbang apabila pelajar datang semula ke sekolah selepas cuti ini, kemungkinan jangkitan virus itu berlaku apabila pertembungan semasa perayaan.
“Oleh demikian, kita menggalakkan anak-anak memakai penutup muka ketika berada di ruang terbuka dan kita juga harap langkah-langkah pencegahan awal itu dibuat oleh ibu bapa termasuk pengesanan awal jika ada tanda-tanda jangkitan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sanjungan Budi Anta Permana sempena persaraan Pengetua SMK Bukit Jambul, Zaharah Abdullah, di sini, hari ini.
Tambah beliau, JPN turut mengadakan sesi libat urus dengan pengetua dan guru besar berhubung langkah persediaan mengekang penularan influenza.
“Setakat ini, tiada sekolah di Pulau Pinang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan hanya murid yang bergejala dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.
“Kita kena beringat, lebih-lebih lagi anak-anak calon SPM yang tak sampai sebulan untuk menghadapi ujian mendengar, ujian amali dan seterusnya ujian bertulis,” katanya.
Pada Selasa lalu, media melaporkan sebanyak 36 kluster influenza direkodkan di Pulau Pinang sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41/2025.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini memaklumkan sembilan kluster dicatat antara ME1 hingga ME39, 10 kluster pada ME40 (28 September hingga 4 Oktober), manakala 17 kluster baharu dilaporkan pada ME41 (5 hingga 11 Oktober).
Beliau turut memaklumkan tiada kes kematian atau mutasi baharu virus influenza dikesan di negeri ini setakat ini. – MalaysiaGazette















