KULIM – Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat malam tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas selepas banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah ini susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam, pada sebelah petang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Alif Ahmad berkata, PPS terbaharu dibuka di Dewan Kampung Paya Tok Betok bagi menempatkan penduduk dari Kampung Sungai Ular.
“Operasi memindahkan penduduk dijalankan dan jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas masih dalam proses bancian.
“Terdahulu, sebuah PPS dibuka di Kampung Belakang Taman Sang Kancil untuk menempatkan mangsa dari empat kampung dan sebuah taman perumahan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Empat kampung serta satu taman itu dilanda banjir kilat selepas hujan lebat tanpa henti menyebabkan limpahan air memasuki kediaman penduduk.
Setakat ini, agensi terlibat masih melakukan pemantauan dan kerja pemindahan ke PPS yang dibuka. – MalaysiaGazette
















