Sebahagian pelajar yang menyertai program menyertai program komuniti “Suburkan Tanah @ Kobunden: Penyelesaian Komuniti untuk Pertanian dan Jaminan Makanan Lestari”.

KUALA LUMPUR – Seramai 22 pelajar antarabangsa menyertai program komuniti “Suburkan Tanah @ Kobunden: Penyelesaian Komuniti untuk
Pertanian dan Jaminan Makanan Lestari” yang dikendalikan oleh Prof Madya Dr Rosazlin Abdullah di bawah Program Sarjana Pengurusan Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaya.

Program ini merupakan kerjasama strategik antara Universiti Malaya, Heritage Environment Sdn Bhd, KEMAS Daerah Seremban, dan komuniti setempat melalui
penglibatan langsung pemilik kebun, Kobunden Ventures.

Ia memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai cabaran sebenar dalam pengurusan pertanian bandar, khususnya berkaitan isu tanah terganggu atau tanah terosot.

Tanah bandar sering diklasifikasikan sebagai tanah yang tidak subur akibat gangguan antropogenik seperti aktiviti pembangunan dan perlombongan, menjadikannya kurang sesuai untuk pertanian tanpa rawatan yang sewajarnya.

Dalam program ini, pelajar bukan sahaja mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik kuliah mengenai ciri-ciri tanah urban, malah turut berpeluang menilai sendiri keadaan sebenar tanah tersebut di lapangan.

Pengalaman ini membuka perspektif baharu tentang keperluan pemulihan tanah secara lestari dan inovatif bagi memastikan tanah yang telah terdegradasi dapat digunakan semula sebagai medium pengeluaran makanan yang mampan.

Antara ilmu yang dipelajari termasuk proses fermentasi sisa makanan untuk menghasilkan kompos, penggunaan cecair kompos sebagai baja semula jadi dan penyediaan medium tanaman yang sesuai bagi memulihkan kesuburan tanah.

Pelajar turut diajar mengenal pasti struktur tanah, teknik penjagaan anak benih serta kaedah rawatan tanah secara mesra alam dan mampan.

Menurut Dr. Rosazlin, pendedahan ini membolehkan pelajar memahami bagaimana teori dalam bilik kuliah boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar dalam komuniti.

“Pendekatan seperti ini penting untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan
cabaran masa depan seperti keterjaminan makanan,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Rokiah Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Heritage Environment Sdn Bhd, turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor pendidikan, industri dan komuniti.

“Program seperti ini bukan sahaja membina kapasiti pelajar dalam bidang pengurusan alam sekitar, malah memperkukuhkan jalinan kerjasama antara pihak universiti dan komuniti tempatan. Kami percaya bahawa pertanian lestari hanya boleh dicapai apabila ilmu, teknologi dan masyarakat digabungkan dalam satu ekosistem pembelajaran yang menyeluruh,” ujar beliau.

Beliau berkata, penglibatan pelajar dari China dan Guinea, Afrika, memberi nilai tambah kepada komuniti tempatan melalui pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman yang menyemarakkan semangat pembelajaran dua hala. Ia juga mewujudkan jaringan sosial baru di antara komuniti Daerah Seremban, Syarikat swasta (Heritage Environment Sdn Bhd) dan Universiti Malaya yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar apabila mereka berada di peringkat pekerjaan nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast