KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO mempersoalkan kewujudan dua organisasi pembangkang iaitu “Sekretariat Orang Melayu” di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan “Ikatan Prihatin Rakyat” (IPR) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi mempersoalkan mengapa kedua-dua organisasi ini tidak di bawah satu bumbung Perikatan Nasional (PN) sahaja.
“Itu namanya bersatu tetapi berpecah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Pada Jun lalu, Dr. Mahathir menubuhkan Sekretariat Orang Melayu bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib orang Melayu di bawah satu payung besar.
Bekas perdana Menteri itu berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah untuk mengembalikan kuasa politik dan cabaran yang dihadapi orang Melayu.
“Kita bersetuju untuk adakan satu gerakan yang dipanggil sebagai payung besar atau Sekretariat Orang Melayu.
“Ia bukan parti politik, tapi satu usaha untuk satukan semua gerakan yang memperjuangkan orang Melayu dalam satu kumpulan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar.
Manakala baru-baru ini, 11 parti-parti politik di luar blok kerajaan sepakat menamakan gabungan sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan tema perjuangan ‘Selamatkan Malaysia’.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah Belanjawan 2026, Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), perkembangan genosid di bumi Gaza, Palestin, keselamatan anak-anak di sekolah dan Akta Perolehan Kerajaan.
Katanya, Kongres Nasional IPR pada awal 2026 bagi menegaskan pendirian gabungan menangani isu-isu rakyat selain menyelamatkan Malaysia daripada terus terhumban atau tercicir dalam persaingan rantau serta global.
Secara sinis, Puad berkata, ‘banyak sangat kepala’ dan ramai yang mahu jadi ketua.
Situasi itu menyebabkan wujudnya tiga entiti tetapi melibatkan pengemudi yang sama.
“Hakikatnya perpecahan dan saling mencurigai tetap menebal dalam PN,” ujarnya yang mendakwa kehadiran Pengerusi Interim Urimai P. Ramasamy dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy punca IPR diwujudkan.
Tetapi dalam masa yang sama, mereka mahu sokongan orang Melayu melalui Sekretariat Melayu.
Puad mendakwa, penubuhan banyak cabang ini hanya mahu menipu rakyat dan tujuan sebenar hanya untuk mencari kuasa.
Menurutnya, pendekatan ini akan menyebabkan organisasi yang ditubuhkan akan cepat rapuh, bersifat sementara dan tiada stabiliti untuk perihatin rakyat. – MalaysiaGazette















