Kedai bunga antara tarikan di Little India Brickfields menjelang sambutan Deepavali esok. Foto AIZAT ZAINAL, 19 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Suasana di Little India, Brickfields hari ini cukup meriah apabila penganut agama Hindu berpusu-pusu membanjiri kawasan ini untuk persiapan akhir untuk menyambut Deepavali esok.

MalaysiaGazette yang membuat tinjauan mendapati banyak gerai mula beroperasi sejak jam 8 pagi dan menjelang 10 pagi kawasan ini sesak.

Deretan kereta memenuhi segenap ruang di Jalan Bricksfield dan kemeriahan ditambah dengan pelbagai muzik dan lagu dimainkan dari kedai dan gerai di sepanjang jalan.

Pelbagai barangan daripada makanan, minuman, pakaian perhiasan, bunga dan bunga api dipromosi sepanjang jalan di sini.

Seorang kanak-kanak sedang diinai ketika tinjauan lensa Malaysiagazette di Little India Brickfields, bagi menyambut Perayaan Deepavali 20 Oktober ini. Foto AIZAT ZAINAL, 19 OKTOBER 2025.

Memandangkan perayaan Deepavali esok, ada kedai yang menjual pakaian dan kelengkapan pada harga runtuh.

Seorang pegawai bank, Vicky, 34,  yang ditemui MalaysiaGazette berkata, kedatangannya di sini bukan sahaja untuk membeli-belah, tetapi juga memberi pendedahan kepada anaknya tentang budaya India.

Beliau yang menunggu jari anaknya diinaikan berkata, pemakaian inai semasa sambutan Deepavali bukan sahaja untuk kecantikan, tetapi memberi maksud kemakmuran, dan keberuntungan.

Vicky

Vicky berkata, tahun ini beliau menyambut Deepavali secara sederhana kerana tidak mengambil cuti panjang.

Oleh itu, katanya, persediaan sambutan Deepavali banyak dilakukan oleh isterinya termasuk menyediakan biskut sehingga awal pagi.

“Saya cuti sehari sahaja, jadi sambutan Deepavali kami sederhana, namun semua persiapan sudah dilakukan oleh isteri,” katanya dengan ceria.

Sharveshvarry, 20, Joyceviny, 22, dan Kallisswary (kiri), 22, bercakap pada media di Little India Brickfields, bagi menyambut Perayaan Deepavali 20 Oktober ini. Foto AIZAT ZAINAL, 19 OKTOBER 2025.

Seorang remaja, Kallisswary. berkata, dia dan adik-beradiknya datang ke Brickfield untuk mendapatkan perkhidmatan inai.

Katanya, aktiviti berinai ini dilakukannya bersama-sama keluarga setiap kali sambutan Deepavali.

Namun, katanya, harga yang ditawarkan agak tinggi berbanding luar musim perayaan.

“Hari ini mereka caj RM20 satu tangan, agak tinggi harganya,” ujarnya.

Anita

Sementara itu, seorang warga Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Anita, 42, sambutan Deepavali sebenarnya lebih bermakna diraikan di kampung halaman berbanding di sini.

“Di kampung saudara-mara lebih ramai, kemeriahan lebih terasa. Kami bukan sahaja kunjung-mengunjungi tapi meriah bersama-sama main bunga api,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast