KUALA LUMPUR – Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai juara Pertandingan Debat Statistik Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Siri Ke-4 Tahun 2025 yang dianjurkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengalahkan tiga pasukan hebat dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).
Malah, USM juga menerima Anugerah Pendebat Terbaik Akhir yang dimenangi oleh Muhammad Amirul Hakim Ahmad Roziman.
DOSM berkata, prtandingan itu diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan 1, Lipis, Pahang dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.
Debat yang berlangsung dengan penuh semangat dan intelektual ini melibatkan penyertaan 20 pasukan debat dari 11 buah IPT yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama DOSM.
Pusingan awal pertandingan telah berlangsung di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak pada 26 – 28 September 2025 manakala pusingan
akhir telah berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Khidmat DUN Jelai,Sungai Koyan 1, Lipis, Pahang pada 17 Oktober lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertandingan ini merupakan wadah penting dalam menggalakkan pemikiran kritis di kalangan mahasiswa.
“Melalui platform ini, mahasiswa dapat mengasah kemahiran mereka dalam membuat keputusan berasaskan data dan fakta, yang amat diperlukan untuk membina generasi pemimpin masa depan yang lebih bijaksana dan analitikal,” ujar beliau.
Menariknya, pertandingan bagi siri ini menggunakan format debat ala Parlimen British, yang membuka ruang kepada para peserta untuk berdebat dalam suasana yang lebih kompetitif, tersusun dan mencabar.
Pendekatan ini sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan kepimpinan dalam kalangan
mahasiswa. – MalaysiaGazette















