Mohammad Syafiq didakwa atas dua pertuduhan menyeleweng diesel di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyeleweng 7,737 liter diesel di Bukit Mertajam.

Hakim Roslan Hamid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Syafiq Jaily, 35, membuat pengakuan bersalah sebaik dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Syafiq didakwa menyimpan secara haram 2,230 liter diesel dalam tangki tambahan lori bersama peralatan seperti pam, hos paip dan tangki besi di tepi jalan kawasan Bukit Mertajam pukul 11.30 pagi pada 7 Julai 2023.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000.

Mohammad Syafiq mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 5,507 liter diesel menggunakan lori sama di sebuah stesen minyak di kawasan sama pada jam 8.45 malam, 25 April lalu dan dijatuhi hukuman denda RM20,000.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Mohd Hilmi Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel berjumlah RM16,909.90 serta bon jaminan kenderaan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Selain itu, tangki besi dan pam yang disita diarahkan dilupuskan manakala telefon bimbitdikembalikan kepada tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast