Anggota APM bantu pindahkan mangsa banjir.

BALIK PULAU – Seramai 22 penduduk daripada lapan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan sekitar daerah Barat Daya dilanda banjir, awal pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Barat Daya, Kapten (PA) Salman Rahimi Manaf berkata, PPS berkenaan dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh diKampung Perlis di sini, susulan kenaikan paras air yang berlaku sejak tengah malam.

“Antara kawasan yang terjejas ialah Pulau Betong, Sungai Burung dan Kampung Masjid di Teluk Kumbar.

“Semua mangsa selesai dipindahkan ke PPS berkenaan sekitar jam 2 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi pemindahan turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambah beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu mendaftarkan mangsa dan menyalurkan keperluan di PPS.

Terdahulu, beberapa kawasan di Bayan Lepas turut dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sejak petang semalam, termasuk Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Kampung Seronok.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Azizberkata, hujan berpanjangan menyebabkan sungai melimpah dan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang banyak walaupun air laut surut ketika itu.

Dalam kejadian berasingan, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan laluan di Jalan Tun Sardonyang menghubungkan Balik Pulau dan Georgetown ditutup sepenuhnya sehingga esok berikutan cerun runtuh dan pokok tumbang petang semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast