Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan anak perempuannya berusia 10 tahun menggunakan sebilah parang, dua hari lalu.

K. Vejesh, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrul Abdullah. Bagaimanapun mahkamah menetapkan 29 Oktober ini bagi fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit pangsapuri di Setapak, Wangsa Maju di sini pukul 1.30 pagi 22 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang mana tertuduh boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan itu.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast