BALIK PULAU – Penutupan Jalan Tun Sardon yang menghubungkan Balik Pulau dengan Georgetown dilanjut ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak, susulan beberapa runtuhan cerun baharu direkodkan hari ini.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, setakat tengah hari tadi, sebanyak enam runtuhan cerun tambahan dikenal pasti sepanjang laluan berkenaan.
Beliau berkata, pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan terperinci dan menilai tahap kestabilan kawasan terbabit.
“Kerja pembersihan yang dimulakan semalam terpaksa dihentikan sementara berikutan hujan lebat masih berterusan.
“Atas faktor keselamatan, pembukaan semula Jalan P14 (Jalan Tun Sardon) yang dijadualkan petang ini ditangguhkan ke satu masa yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko keselamatan.
Media sebelum ini melaporkan, jalan utama itu ditutup sepenuhnya sejak Khamis selepas kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang yang berlaku sekitar jam 5 petang.
Zairil sebelum ini turut memaklumkan cerun di Kilometer 5.10 dikenal pasti dalam keadaan kritikal apabila berlaku pergerakan tanah akibat hujan lebat dan angin kencang.
“Kawasan terjejas merekodkan satu runtuhan cerun kritikal, 15 cerun terbuka, tujuh pokok tumbang, empat kejadian jatuhan batu serta satu kes mendapan jalan.
“Turut dikenal pasti, beberapa batu besar berdiameter sehingga lima kaki yang jatuh di sepanjang laluan itu,” katanya. – MalaysiaGazette















