PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

TUMPAT – Seorang lelaki tempatan maut selepas disyaki ditetak sepupunya dalam kejadian di Kampung Kok Bedullah, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Shuhairi Hashim, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi Bernama hari ini mengesahkan pihaknya telah menahan suspek terbabit.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek disahkan positif dadah dan memiliki,” katanya sambil menambah bahawa perincian lanjut berhubung kes berkenaan akan dikeluarkan dalam kenyataan rasmi.

Sementara itu, ibu mangsa Wan Salma Wan Said, 68, berkata, dia menemukan anaknya dalam keadaan berlumuran darah berhampiran rumah mereka.

Beliau berkata, ketika kejadian dia berada di atas rumah dan sedang bersiap untuk tidur.

“Ketika itu saya terdengar seolah-olah ada orang mengerang kesakitan. Saya segera membuka jendela rumah dan ternampak anak saya terbaring serta mengerang kesakitan dalam keadaan mengerikan.

“Di sebelahnya saya nampak anak saudara saya (suspek) sedang berteriak. Saya tidak pasti apa yang berlaku, namun saya percaya mungkin ada perselisihan faham antara mereka sehingga tercetus kejadian menyayat hati ini,” katanya di Unit Forensik Hospital Tumpat, hari ini.

Wan Salma berkata, suspek sebelum itu ada memberitahu bahawa mangsa melakukan sesuatu yang menyakitkan hati dan bersifat peribadi, namun tidak menjelaskan perkara tersebut dengan lebih lanjut sebelum beredar ke rumahnya.

“Selepas itu, saya terus menghubungi seorang lagi anak saya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang mencuci jengkaut bersendirian sebelum didatangi suspek yang kemudian menetaknya menggunakan senjata tajam yang tidak diketahui jenis. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast