KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand esok.
Bagaimanapun waktu upacara itu berlangsung bergantung kepada jadual ketat pemimpin AS itu yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyelarasan sedang dilakukan bagi memastikan acara bersejarah itu berjalan lancar da ia akan dimuktamadkan sebaik ketibaan Trump di ibu negara.
“Kita sedang berunding untuk masa yang sesuai kerana jadual kita sudah ada, tetapi kita tidak tahu bagaimana jadual Presiden Trump.
Jadi, kita akan lihat semasa ketibaan beliau nanti sama ada masa asal dikekalkan atau perlu disesuaikan,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau mengesahkan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul yang sebelum ini terpaksa menangguhkan lawatan rasminya ke Malaysia ekoran tempoh berkabung susulan kemangkatan Ratu Sirikit, dijangka tiba malam ini.
“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga diraja dan seluruh rakyat Thailand. Walaubagaimanapun, Perdana Menteri Thailand akan tiba malam ini untuk menghadiri majlis tandatangan perjanjian esok,” jelasnya.
Menurut Mohamad, majlis berkenaan diminta diadakan lebih awal pada sebelah pagi namun keputusan akhir hanya akan dibuat selepas perbincangan dengan AS dan Kemboja.
“Pagi esok kita akan mulakan dengan majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, diikuti sidang pleno dan sesi ‘retreat’. Sebelah petang pula akan berlangsung Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang turut dihadiri Presiden Trump,” katanya.
Beliau menambah, selain pertemuan bersama AS, turut diadakan mesyuarat ASEAN–Jepun, ASEAN–India serta sesi perbincangan khas mengenai inisiatif hijau dan peralihan tenaga di rantau ini.
“Biasanya hari pertama Sidang Kemuncak ini dikhususkan untuk urusan ASEAN sahaja, tetapi kali ini kita perlu atur semula kerana beberapa pemimpin dunia perlu menyesuaikan perjalanan masing-masing.
“Perdana Menteri Jepun, misalnya, perlu pulang awal ke Tokyo kerana Presiden Trump akan ke sana selepas ini. Presiden India pula, walaupun pada awalnya mahu berundur awal, akhirnya bersetuju menyertai Sidang Kemuncak ASEAN–India secara dalam talian,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur mulai hari ini menghimpunkan pemimpin negara-negara Asia Tenggara serta rakan dialog utama dalam siri sidang khas yang dijangka memberi tumpuan kepada keamanan serantau, ekonomi digital dan transformasi tenaga hijau. – MalaysiaGazette















